Monday, September 26, 2011

Bakal Jemaah Haji Dun Batu Rakit dirai...

YB Haji Khazan dan isteri Hajah Nik Aini menyampaikan sumbangan kepada pasangan suami isteri yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah nanti sempena Majlis Ramah Mesra dan Makan Tengahari bersama Bakal Jemaah Haji Dun Batu Rakit 2011.

BATU RAKIT- 26hb September 2011 "Beramal ibadatlah dengan sebaik-baiknya apabila tiba di Tanah Suci Mekah nanti gunakan peluang yang diberi untuk mendekatkan diri dengan Allah sepenuh hati dan saya doakan semoga semua jemaah haji Dun Batu Rakit selamat tiba dan selamat kembali ke tanah air nanti..semoga beroleh haji yang mabrur" itulah pesan dan doa yang diluahkan oleh YB Haji Khazan Che Mat kepada bakal haji seluruh Dun Batu Rakit.Beliau berucap dalam Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Tengahari Bersama Bakal Jemaah Haji Dun Batu Rakit 2011 di Restoran Seri Wangsa,Gong Badak.

YB Haji Khazan (kanan) memeluk salah seorang bakal jemaah haji.

Beliau turut memaklumkan bahawa mereka yang dapat mengerjakan haji pada tahun ini amat bertuah kerana telah dipilih oleh Allah untuk memijak Tanah Suci Mekah. "Terlalu banyak orang yang mendaftar dan menunggu peluang untuk ke sana,namu terpaksa menunggu lagi,jadi kepada yang dapat pergi pada tahun ini,gunakan peluang ini untuk kita mencari keredhan dariNYA" tambah beliau lagi.Beliau turut mengajak para jemaah haji agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan dapat menunaikan haji dengan sebaik-baiknya.

Encik Bazlan Abd.Rahman (kanan) yang akan mengerjakan fardhu haji nanti turut menerima cenderahati daripada YB Haji Khazan.

Menurut beliau lagi rakyat Malaysia yang beragama islam bertuah kerana kerajaan telah menyediakan satu agensi khas untuk mengawal selia bakal-bakal haji. "Bukan sekadar membantu menabung untuk pergi haji tapi segala kemudahan dan latihan turut diberikan kepada para jemaah haji agar dapat mengerjakan haji dengan sempurna" kata beliau lagi. Bagi beliau,rakyat di Malaysia tidak seperti dinegara-negara lain yang bersusah payah serta tambang yang mahal untuk menunaikan ibadat haji. "Kadar tambang haji yang hanya RM10,000 bagi yang pertama kali mengerjakan haji amat murah berbanding dengan negara lain sebanyak RM16,000 atau RM18,000" ujar YB Haji Khazan lagi.Dengan adanya Tabung Haji yang sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik untuk semua jemaah haji,ianya juga telah banyak kali mengharumkan nama Malaysia sebagai sebuah badan yang terbaik dalam menyediakan perkhidmatan untuk bakal haji.

YB Haji Khazan menyampaikan ucapan dan pesanan kepada bakal-bakal haji Dun Batu Rakit.

YB Haji Khazan juga berharap agar semua bakal jemaah haji dapat mengguna peluang terbaik selama 40 atau 45 hari berada di Mekah dapat menjalankan ibadat dengan sebanyak dan sebaik mungkin. "Inilah masanya untuk kita merasai nikmat solat berjemaah di Masjidil Haram ataupun di Masjid Nabawi,jangan sia-siakan peluang yang hadir ini" tambah beliau lagi. Mengakhiri ucapan dan pesanan beliau,beliau berharap agar semua para jemaah haji akan selamat pergi dan selamat kembali dengan beroleh haji yang mabrur.

Bakal-bakal jemaah haji sedang menikmati hidangan tengahari.

Majlis yang bermula jam 2.30 petang ini telah dihadiri oleh seramai 42 oarang yang terdiri dari 18 orang jemaah haji lelaki dan 24 orang jemaah ahji wanita. Majlis yang bermula dengan hidangan makan tengahari turut dihadiri oleh Puan Hajah Nik Aini Nik Soh isteri Yb Haji Khazan, Ketua APMT Dun Batu Rakit Haji Mad Ali Abdullah dan para anggota pembantu APMT,Ketua Wanita Umno Bahagian Setiu Hajah Wan Maznah Wan Nong,Wakil Balai Polis Batu Rakit Sarjan Tengku Mohd Abu Bakar Raja Sulaiman dan juga Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit Haji Kamaruddin Mohd.Pada majlis ini juga YB Haji Khazan dan isteri turut menyumbangkan sedikit wang belanja dan juga cenderahati untuk semua bakal jemaah haji. Majlis ini berakhir pada jam 4.30 petang.

Ketua APMT Dun Batu Rakit (bersongkok) turut sama menikmati hidangan tengahari.

Pembantu APMT Dun (wanita) turut sama hadir menyerikan majlis.

Para pembantu APMT Dun (lelaki) turut sama terlibat menjayakan majlis.



Cerita dan Gambar:MAZLAN MUSTAFA

SETIU HARI INI

No comments:

Post a Comment