Sunday, March 27, 2011

Petani Pecah Rotan kerugian...

Buah-buah tembikai yang telah ditenggelami air dan sudah tidak boleh dijual lagi kepada pemborong.

BATU RAKIT (PECAH ROTAN)-27hb March 2011- Penat lelah yang diusahakan hampir dua bulan oleh para petani yang menanam tembikai di Kampung Pecah Rotan musnah sekelip mata apabila tanaman mereka telah ditenggelami air.Hujan yang berterusan selama dua hari telah menyebabkan kerugian mencecah sehingga RM100,000.00 kepada 35 orang petani. Hampir 40 ekar tanaman yang mengandungi tembikai dan lada telah ditenggelami air sedalam 1 meter lebih pada dua hari yang lepas.

Air yang menenggelami buah tembikai.

Menurut Pengerusi JKKK Kampung Terap Pecah Rotan Encik Mohamad bin Majid, tidak pernah terjadi selama ini hujan yang datang pada bulan tiga selama beliau menjdai petani disitu hampir 5 tahun. "Kejadian yang menimpa ini amat perit untuk kami terima kerana hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi untuk kami semua menuai hasil yang kami tanam"kata beliau.

Pengerusi JKKK Kampung Terap Pecah Rotan Encik Mohamad bin Majid.

Beliau yang mempunyai ladang tembikai seluas tiga ekar turut merasa keperitannya kerana semua tanaman diladang beliau telah ditenggelami air.Menurut beliau lagi hujan yang turun selama dua hari telah menyebabkan air yang bertakung tidak sempat mengalir keluar seperti tahun-tahun sebelumnya. "Dari pukul 1.00 pagi pada malam hujan lebat, kami semua berusaha untuk mengalirkan air keluar dari kebun kami,tapi hujan yang makin lebat menjadikan usaha kami sia-sia" kata Encik Mohamad lagi. Beliau yang terkenal dengan panggilan Pok Pin turut berharap agar pihak-pihak yang berkenaan memandang serius apa yang telah menimpa para petani ini. "Mungkin dengan sedikit ihsan daripada pihak-pihak yang berkenaan akan dapat meringankan beban yang telah kami tanggung ini. Ini kerana pertanian merupakan sumber utama pendapatan bagi penduduk Kampung Pecah Rotan dan juga Terap Pecah Rotan" ujar beliau lagi.

Para petani mengutip tembikai-tembikai yang tidak ditenggelami air.

Menurut Encik Mohamad, setiap ekar bagi tanaman tembikai ini memerlukan modal sebanyak hampir RM2,000.00 dan pulangan yang akan dapat apabila menuai hasil hampir RM8,000.00. Dengan kejadian yang menimpa menyebabkan kami mengalami kerugian yang amat tinggi,mentelah lagi buah-buah itu hampir pada saat untuk dinikmati hasilnya.

Pokok Tembikai yang telah rosak dan tidak boleh dibiarkan lagi tumbuh kerana telah ditenggelami air.

Beliau berharap agar apa yang menimpa para petani ini tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus berbakti kepada tanah.Harapan juga disandarkan kepada pihak Jabatan Pertanian dan JPS agar sentiasa memantau sistem perparitan disekitar kawasan pertanian tersebut.

Cerita dan Gambar: MAZLAN MUSTAFA

SETIU HARI INI

No comments:

Post a Comment