Monday, April 18, 2011

Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSDKTU....

Pasukan Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Tunggal meraikan kejayaan bergelar juara Bolasepak Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara.

BATU RAKIT (BUKIT WAN) 14hb April 2011- Sebanyak 32 Sekolah rendah di Kawasan Kuala Terengganu Utara (MSSDKTU) telah menyertai Pertandingan Bola Sepak Bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara yang diadakan dipadang bola Kampung Bukit Wan. Pertandingan yang diadakan selama empat hari telah bermula pada 10hb April dan telah dibahagikan kepada lapan kumpulan.Setiap kumpulan mengandungi empat pasukan dan juara setiap kumpulan layak ke pusingan separuh akhir.

Tuan Haji Muslan menyampaikan hadiah kepada ketua pasukan Sekolah Rendah Kebangsaan Durian Mas yang muncul naib juara pertandingan.

Dalam pertandingan ini Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Tunggal (SRKBT) telah berjaya menjadi juara setelah mengalahkan Sekolah Rendah Kebangsaan Durian Mas (SRKDM) dengan jaringan dua gol berbalas satu. Perlawanan akhir ini bermula dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol pendahuluan. Dengan pasukan SRKBT yang sentiasa menguasai bahagian tengah diawal permainan ianya banyak mencipta peluang untuk penyerang menjaringkan gol. Kegopohan dan penyudah yang kurang sempurna menyebabkan peluang yang terhidang menjadi sia-sia.

Ketua Pasukan Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Tunggal menerima piala pusingan dari Tuan Haji Muslan sebagai juara pertandingan.

Pertengahan separuh masa pertama SRKBT telah berjaya mendapatkan gol pertama hasil kekalutan yang berlaku diluar petak penalti pasukan SRKDM. Kesempatan yang terhidang digunakan dengan sebaik mungkin oleh pemain tengah pasukan SRKBT untuk merembat bola melenpasi jangkauan penjaga gol SRKDM. Kedudukan 1-o kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Pengadil kejohanan (kiri) menerima cenderahati dari Pengerusi Kejohanan Tuan Haji Muslan.

Memasuki permainan separuh masa kedua,pasukan SRKDM telah mengasak hebat pasukan SRKBT untuk mencari gol penyamaan.Kesungguhan dan semangat kental pasukan SRKDM telah berjaya membuahkan hasil apabila pada minit ke 40,mereka berjaya mendapatkan gol penyamaan hasil sepakan sudut yang menyebabkan kekalutan didepan pitu gol. Tandukan yang dilakukan oleh penyerang pasukan SRKDM telah menewaskan kekebalan penjaga gol SRKBT.

Para pemain Sekolah Bukit Tunggal meraikan kejayaan menjaringkan gol.

Gol tersebut telah berjaya menaikkan semangat pasukan SRKBT untuk mengasak mencari gol. Hasil asakan yang bertali arus,pada minit yang ke 55 pasukan SRKBT telah berjaya memperolehi gol kemenangan. Gerakan solo pemain penyerang SRKBT tidak berjaya dikekangkan dengan sebaik mungkin oleh pertahanan pasukan SRKDM.Dengan rembatan padu diluar kotak penalti,ianya telah berjaya mengegarkan jaring gol pasukan SRKDM dan seterusnya berjaya membawa pasukan SRKBT muncul juara pada kejohanan kali ini.

Pemain Sekolah Durian Mas (berbaju merah putih) cuba menghalang pergerakan pemain Sekolah Bukit Tunggal.

Sementara itu dalam penentuan tempat ketiga dan keempat,pasukan Sekolah Rendah Kebangsaan Banggol Peradong (SRKPB) telah berjaya mengalahkan pasukan Sekolah Rendah Kebangsaan Gong Badak (SRKGB) dengan sepakan penalti. Seri pada permainan sebenar telah membawa kepada sepakan penalti yang dimenangi oleh SRKBP dengan keputusan 4 -1.

Kedua-dua pasukan bergambar kenangan bersama para pengurus pasukan,pengadil dan pengerusi kejohanan Tuan Haji Muslan Ahmad.

Pertandingan yang berakhir pada jam 7.00 petang ini telah disampaikan hadiah oleh Pengerusi Pertandingan iaitu Guru Besar Sekolah Bukit Wan Tuan Haji Muslan Ahmad. Menurut beliau,pertandingan ini terpaksa diadakan dipadang kampung kerana padang sekolah yang biasa digunakan oleh para pelajar untuk berlatih tidak mencukupi saiz dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak MSSDKTU. Sebagai tuan rumah pada kejohanan kali ini,beliau terpaksa menggunakan padang yang digunakan oleh para pemuda untuk bermain bola sebagai alternatif yang terbaik. "Dengan kemudahan padang yang disediakan oleh pihak YB Adun Batu Rakit untuk para penduduk,kita boleh gunakan sebagai tempat untuk kejohanan kali ini. Dan padang ini juga baru disiapkan,jadi amat tepat pada masanya kejohanan ini diadakan di Bukit Wan ini" kata beliau.

Pemain pasukan Sekolah Bukit Tunggal (berbaju hitam) membuat hataran bola kepada rakan sepasukan.

Pasukan Sekolah Rendah Kebangsaan Durian Mas.

Pasukan Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Tunggal.

Sebahagian penonton yang hadir menyaksikan Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSDKTU di Padang Bolasepak Bukit Wan.

Cerita dan Gambar: MAZLAN MUSTAFA

SETIU HARI INI

No comments:

Post a Comment