BATU RAKIT (TANJUNG) 22hb April 2011- Hampir 50 orang pelajar-pelajar dari Akedemi Laut Malaysia (ALAM) menyertai gotong-royong membersihkan kawasan persisiran pantai di Taman Rekreasi Mengabang Kapal di Kampung Tanjung Batu Rakit. Program yang dianjurkan oleh JKKK Kampung Tanjung turut mendapat kerjasama dari Pejabat Daerah Kuala Terengganu,Pelancongan Trevicosta, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan juga Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit. Program yang bermula jam 8.30 pagi ini telah juga disertai oleh para penduduk kampung.
Menurut Pengerusi JKKK Kampung Tanjung Encik A Bakar @ Mad Amin bin Ali,tujuan gotong-royong ini diadakan adalah untuk membersihkan kawasan pantai agar ianya dapat dijadikan tarikan dari para pengunjung untuk dijadikan tempat berehat bersama keluarga. Ianya juga bertujuan memastikan persisiran kawasan pantai sentiasa bersih dan menarik. Menyedarkan betapa pentingnya kebersihan ini diutamakan dalam menceriakan sesebuah kampung untuk menarik perhatian para pengunjung yang datang ke persisir pantai Tanjung.
Beliau juga amat berbangga dengan sikap kerjasama yang dibrikan oleh para penduduk demi melihat kawasan pantai sentiasa bersih dan indah. Dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak seperti Majlis Bandaraya yang sudi menyediakan lori dan peralatan,Pejabat Daerah Kuala Terengganu yang sentiasa memantau perjalanan gotong-royong ini dan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun yang peka pada kempen kebersihan,memudahkan perjalanan gotong-royong ini diadakan.
Beliau juga berharap agar program seumpama ini akan sentiasa diadakan dari masa ke semasa untuk terus mengekalkan kebersihan sebagai satu cara terbaik mengindahkan kawasan kampung.Harapan beliau juga agar lebih banyak pihak akan tampil untuk menyediakan program seumpama ini demi menjadikan persisiran pantai di Negeri Terengganu sentiasa bersih dan menarik.
Gotong-royong ini turut juga dihadiri oleh Pengarah Perlancongan Trevicosta Dato' Haji Wan Zahari Wan Ngah,Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit Haji Kamarudi Mohamad,Penghulu Mukim Batu Rakit Wakaf Chagak Pulau Redang Encik Mohd Zamari Abu Zih dan Penghulu Mukim Batu Rakit Wakaf Tengah Encik Mohd Zazarin Abdul Ghani. Gotong-royong ini telah berakhir jam 11.30 pagi dengan hidangan tengahari disediakan untuk semua yang hadir.
Cerita dan Gambar: MAZLAN MUSTAFA
SETIU HARI INI
No comments:
Post a Comment