Tuesday, December 7, 2010

Terengganu bakal melahirkan pemimpin berilmu dan berakhlak mulia.

Salah seorang kanak-kanak bersama ibunya mendapat sijil hafaz muqaddam baru-baru ini di Stadium Tertutup Komplek Sukan Gong Badak.Kuala Terengganu.

Perjuangan dalam mencari ilmu tiada nokhtahnya dalam kehidupan ini.Setiap detik nafas kita pasti ilmu itu akan menerjah dalam ruang liku kehidupan kita.Cuma cara yang kita hadapinya kadang-kadang berbeza antara satu sama lain.Sepanjang masa ilmu itu terus datang sama ada secara kita sedar ataupun tidak.Setiap pergerakan yang kita tempuhi banyak memberikan kita pelajaran untuk kita ambil pengajarannya.
Kerajaan Negeri Terengganu juga kini banyak memainkan peranannya dalam memertabatkan ilmu itu sebagai salah satu titik utama untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.Pelbagai program,bantuan,biasiswa dan segala kemudahan telah disediakan untuk mencapai matlamat tersebut.
Usaha yang dilakukan itu bukan sahaja tertumpu kepada para pelajar sahaja tetapi merangkumi seluruh rakyat.Tanpa fahaman politik,kanak-kanak atau pun dewasa,semuanya dapat menerima hasil yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
Dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak mulia,kerajaan negeri telah berjaya melakukan program penghayatan islam terhadap kanak-kanak bermula dari umur 3 dan 4 tahun lagi.
Ini bertetapan dengan pepatah melayu "melentur buluh biarlah dari rebungnya",maka kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah yang positif untuk menyediakan asas pendidikan yang mengandungi komponen utama iaitu aqidah,ilmu dan akhlak.
Untuk mencapai matlamat dan hasrat kerajaan negeri itu Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah bersama memainkan peranan dalam membimbing dan mengajar al-quran bagi kanak-kanak tersebut.
Program yang bermula pada tahun 2007 telah berjaya memberikan satu kelainan daripada negeri-negeri lain di Malaysia apabila setiap tahun melahirkan satu generasi muda dalam hafaz muqaddam.
Adalah amat membanggakan apabila seramai 2,029 orang penghafaz muda telah berjaya dilahirkan sepanjang 4 tahun program ini dilaksanakan.Ini menunjukkan sikap kerajaan yang begitu bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat melahirkan golongan berakhlak mulia.
Sikap kecaknaan para ibubapa untuk memberikan yang terbaikdalam pendidikan al-quran demi menjadikan anak-anak sebagai insan yang berguna dimasa hadapan juga patut dipuji dalam program ini.
Mungkin kesedaran tentang masalah sosial yang banyak melanda dikalangan remaja kini telah mempengaruhi sikap ibubapa betapa pentingnya didikan agama perlu diserapkan seawal usia muda.Ini terbukti apabila ibubapa hadir bersama memberikan sokongan kepada anak-anak dalam satu Majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam yang diadakan di Stadium Tertutup Komplek Sukan Gong Badak baru-baru ini.
Faktor sokongan yang tidak berbelah bagi daripada ibubapa juga dapat meransangkan lagi kejayaan anak-anak mereka untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan.
Dengan segala kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi membantu sesuatu program,rasanya kemiskinan bukan lagi penghalang untuk ibubapa tidak memberikan didikan yang sempurna untuk anak-anak mereka.
Apa yang dapat diperkatakan,program yang dijalankan oleh pihak YPKT ini telah berjaya mencapai matlamat dan hala tujunya untuk melahirkan genarasi Ulul Albab bagi menghadapi arus kehidupan yang lebih mencabar.
Dengan perbelanjaan sebanyak RM10 juta setahun yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk YPKT,ianya dapat menjadikan program ini lebih tersusun dan terus berjaya.
Kata bidalan,"anak-anak adalah permata yang paling berharga",sempurna didikan untuk mereka ketika kecil maka berjayalah mereka menjadi manusia yang berguna dimasa hadapan dan begitulah sebaliknya.
Semoga kejayaan program ini dapat membina satu masyarakat yang lebih berakhlak mulia,amanah,jujur dan cekap demi menjadikan negeri ini lebih berdaya saing menuju kemajuan dimasa akan datang.
Mungkin segala program yang dirancangkan oleh Menteri Besar YAB Dato'Ahmad bin Said untuk menjadikan negeri Terengganu ini sebagai negeri Anjung Ilmu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.


oleh: MAZLAN MUSTAFA.


SETIU HARI INI

No comments:

Post a Comment